Ingin tahu fakta-fakta menarik yang berkaitan dengan tema Webisod kali ini? Klik pada pautan yang tersedia untuk membaca artikel-artikel yang telah kami senaraikan khas untuk anda!
BERI KHIDMAT CEMERLANG: Encik Mohamad Sharil (tiga dari kiri) telah memperkenalkan sesi terapi bantuan haiwan yang dimanfaatkan pesakit di Hospital Ang Mo Kio – Thye Hua Kwan. – Foto SINGHEALTH
Oleh: Farid Hamzah
Sumber: Berita Harian
Seramai 3,582 profesional jagaan kesihatan dari 30 pertubuhan jagaan kesihatan awam dan privet menerima Anugerah Khidmat Kualiti Kesihatan Singapura (SHQSA) semalam. Dilancarkan pada 2011, anugerah tersebut merupakan platform pertama dan terbesar yang didedikasi bagi menghargai profesional jagaan kesihatan yang telah memberi jagaan berkualiti dan khidmat cemerlang. FARID HAMZAH (farid@sph.com.sg) memaparkan dua pemenang anugerah itu.
MENGGABUNGKAN minat membantu golongan tua dengan haiwan peliharaan.
Caranya: Memperkenalkan sesi terapi bantuan haiwan di Hospital Ang Mo Kio – Thye Hua Kwan.
Antara lain, pesakit memegang, memeluk, membelai atau menyikat bulu kucing dengan harapan melatih pergerakan bahagian atas tubuh mereka.
Secara tidak langsung, sesi ini juga menerapkan kemahiran sosial dalam kalangan pesakit.
Itulah yang dilakukan Encik Mohamad Sharil Abdul Rahim, 33 tahun, hanya setahun selepas mula bekerja di hospital tersebut.
Ternyata sesi yang beliau perkenalkan itu mendapat sambutan menggalakkan.
Khidmat Encik Mohamad Sharil yang merupakan eksekutif pengurusan sukarelawan di jabatan Kesihatan Bersekutu hospital itu sejak lima tahun lalu, mendapat pengiktirafan.
Semalam, beliau merupakan salah seorang pemenang Anugerah Superstar (kategori Pentadbiran) di majlis penyampaian Anugerah Khidmat Kualiti Kesihatan Singapura (SHQSA).
Anugerah disampaikan Menteri Kesihatan Encik Gan Kim Yong di Teater Mediacorp MES.
“Saya sebenarnya memang gemar berbual dengan warga senja.
“Contohnya semasa pulang ke rumah, saya akan habiskan masa berbual dengan warga senja di kolong blok dan kami pun mula saling bertanya khabar.
“Dari situ banyak yang saya pelajari tentang golongan ini,” katanya yang masih bujang.
Tugasan hariannya memerlukan beliau menguruskan sukarelawan dan bekerjasama dengan mereka dalam Program Pemulihan Bersepadu melibatkan 100 sukarelawan, penjaga pesakit dan penolong terapi setiap hari.
Hampir setiap hari bersama sukarelawan, beliau akan lakukan senaman berkumpulan atau di katil pesakit.
“Sesi terapi kucing ini banyak mendapat perhatian.
“Memandangkan hospital ini menekankan khidmat pemulihan, maka antara manfaat yang kami cuba rangsang menerusi sesi ini ialah kemahiran motor pesakit.
“Nampaknya sesi sedemikian memberi kesan positif,” tambahnya yang juga pengasas pertubuhan Terapi Bantuan Kucing Singapura (Cats).
Pada masa yang sama, beliau juga mengadakan program ini di pusat jagaan kanak-kanak dengan keperluan khas di kawasan Hougang.
Beliau bersama sekumpulan sukarelawan akan mengadakan lawatan ke pusat jagaan itu sebulan sekali bersama dengan kucing peliharaan mereka.
Semasa di sana, kanak-kanak dengan keperluan khas itu turut menjalani program terapi bantuan haiwan bersama kucing tersebut.
Dalam e-melnya, Pengarah Jabatan Kesihatan Bersekutu, Hospital Ang Mo Kio – Thye Huw Kwan, Cik Shekhar Sinha, memuji sikap Encik Sharil yang menunjukkan potensinya yang positif.
“Sepanjang pengalaman yang lama, saya lihat sesetengah individu menunjukkan kualiti hebat dan Sharil merupakan salah seorang daripada mereka.
“Beliau membuktikan yang dirinya seorang pemimpin yang positif dan bermotivasi dengan potensi yang hebat,” katanya.
Anda pemilik kucing? Ingin menjadi wira dan menyumbang kepada masyarakat? Anda dan kucing anda boleh sertai inisiatif yang dilakukan oleh Love Kuching Project.
Anda boleh mendaftarkan diri untuk bersama mereka bertemu para pesakit dan golongan warga emas dari pelbagai pusat rawatan.
Klik pada pautan di bawah untuk mengetahui lebih lanjut tentang badan sukarelawan ini. (Laman dalam Bahasa Inggeris)
Sumber: Blogmazeer.com
Percayakah anda wang tidak menjadi penghalang buat para pencinta kucing untuk memiliki jenis baka kucing yang disukai? Mereka sanggup berbelanja besar untuk memastikan kucing mereka dalam keadaan sihat dan sentiasa aktif.
Ayuh kita ketahui senarai jenis kucing yang termahal di dunia.